Penduduk Melayu, Cina dan pelbagai kaum etnik yang lain telah hidup bersama sejak beberapa generasi yang lalu. Pelbagai budaya yang berbeza ini telah saling mempengaruhi antara satu sama lain, menghasilkan gabungan budaya Malaysia yang unik. Jumlah kaum terbesar di Malaysia adalah kaum Melayu, Cina dan India. Negeri Sabah dan Sarawak juga mempunyai pelbagai kumpulan etnik peribumi, masing-masing dengan budaya serta warisan yang unik dan tersendiri.
Hari ini, kaum Melayu, kumpulan etnik terbesar di Malaysia iaitu merangkumi lebih 50 peratus penduduk negara ini. Di Malaysia, jika merujuk kepada orang Melayu menunjukkan orang itu beragama Islam dan mengamalkan kebudayaan Melayu, berbahasa Melayu dan mempunyai keturunan Melayu. Pada asalnya mereka penganut Theravada Buddha dan Hindu pada kurun ke 1400-an, dan dengan pengaruh Istana Melaka ketika itu mereka menganut Islam. Orang Melayu terkenal kerana peramah dan budaya seni mereka yang sangat kaya.
BELACAN
Ia merupakan sejenis bahan masakan yang diperbuat daripada udang kara yang dimampatkan dan tahan lama. Ia mempunyai bau yang kuat tetapi sedap dan berkhasiat dimakan. Terdapat sesetengah orang yang gemar membakarnya sedikit sebelum digunakan kerana ini membangkitkan baunya. Mahupun begitu, sekiranya dibakar, belacan mengeluarkan bau yang sungguh kuat. Belacan juga merupakan salah satu bahan bagi menghasilkan sambal belacan, iaitu cili dan belacan yang ditumbuk lumat dengan menggunakan lesung tangan.
BOTOK-BOTOK
Botok- botok sejenis makanan tradisi orang Johor. Seperti juga telur pindang yang hanya boleh disediakan dengan baik oleh orang lama di Johor sahaja. Ianya berbungkus didalam daun pisang dan apabila dibuka kita akan dapati beberapa potong ikan yang diselaputi dengan banyak rempah ratus. Ikan yang selalu digunakan untuk masakan ini ialah ikan tenggiri atau ikan merah. Rempahnya yang istimewa khabarnya terdiri dari berbagai herba termasuk beberapa jenis daun pokok bunga puding.
CENCALOK
Masyarakat Melayu di Melaka memang terkenal dengan pelbagai makanan tradisionalnya, yang memang cukup popular, bukan sahaja di tempat asalnya, malahan sudah melangkaui sempadan Malaysia. Selera Melaka sudah menjadi santapan lazim masyarakat Malaysia. Salah satu makanan yang menjadi kegemaran masyarakat Melayu Melaka ialah cencalok. Cencalok ialah sejenis lauk dalam hidangan makanan nasi. Cencaluk dibuat daripada udang halus yang lebih dikenali sebagai udang geragau. Udang geragau akan dicampurkan dengan air dan akan dicampurkan dengan sedikit nasi. Setelah ketiga-tiga bahan tadi sudah menjadi sebati, seterusnya akan dimasukkan ke dalam sebuah bekas iaitu pasu atau tempayan kecil dan ditutup rapat-rapat dengan menggunakan kain bersih untuk diperam dan disimpan selama 3 hari. Untuk menyedapkan rasanya lagi bolehlah dimasukkan sedikit air didih nasi. Untuk menyedapkan lagi apabila dimakan dengan nasi, hendaklah dicampurkan dengan lada basah dan bawang besar yang dihiris kemudian diperahkan dengan limau nipis atau limau kasturi atau juga dicampurkan sedikit lada basah dan sehiris halia kemudian digoreng dengan telur.
Proses membuat Gula Melaka bukanlah satu pekerjaan yang mudah kerana ia terpaksa melalui tiga peringkat pemprosesan. Seseorag yang pakar dalam membuat Gula Melaka dapat mengenal pasti kelapa yang dapat menghasilkan air nira yang baik. Ini penting bagi mendapatkan Gula Melaka yang bermutu tinggi.
Peringkat pertama dalam menghasilkan Gula Melaka ialah dengan menggunakan buluh dan pengikatnya serta pisau yang dikenali sebagai ‘penyadap’ untuk mengambil nira kelapa. Setelah itu, mayang kelapa dilenturkan dengan membalutnya pada daun kelapa muda. Ianya dilenturkan sedikit demi sedikit dan proses ini berterusan sehingga seminggu bagi mengelakkan tangkai mayang itu patah. Mayang yang dilentur dibuang seludangnya dan dihiris sedikit demi sedikit dan air nira ditakung ke dalam buluh yang sepanjang 1 kaki. Di dalam tabung tersebut diletakkan sedikit kapur untuk mencegah air nira daripda menjadi masam. Air nira ini dikenali sebagai air tuak.
Pada peringkat kedua proses memasak Gula Melaka selama empat jam. Pada peringkat ini pengawasan dan pengalaman penting bagi mneghasilkan gula yang baik. Tempat memasak gula Melaka dikenali sebagai sebagai ‘sabak’. Api sabak mesti dijaga agar tidak terlalu besar ketika gula mulai pekat dan mengeluarkan buih yang berwap panas. Nyalaan api tidak boleh dibesarkan lagi di peringkat ‘bunga sena’ di mana keadaan gula telah menjadi agak pekat dan mengeluarkan banyak buih dan mula dikacau perlahan-lahan. Beberapa minit kemudian, kancah diturunkan dan terus dikacau bagi menghasilkan gula yang halus.
Peringkat terakhir ialah bagi memastikan setelah cukup ukuran kepekatannya dan gula masih panas dituangkan ke dalam acuan yang diperbuat daripada buluh setinggi 3 inci, tidak tertutup di kedua-dua hujungnya dan tabung tersebut diletakkan di atas lantai khas. Setelah beku, gula tersebut dikeluarkan daripada bekas tersebut.
DODOL
Ia sejenis makanan yang boleh dikategorikan dalam kumpulan makanan yang manis (atau manisan/penganan). Dodol sangat terkenal di Melaka. Membuat dodol boleh dikatakan amat rumit. Ramai orang selalu mencuba untuk membuatnya. Tetapi tidak semua yang akan menghasilkan dodol yang bermutu tinggi. Biasanya mereka yang mahir membuat dodol ini terdiri daripada mereka yang telah berusia. Jarang sekali generasi muda mahir membuat dodol. Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat dodol terdiri daripada santan kelapa, tepung beras, gula pasir, gula melaka dan garam.Untuk membuatnya, bahan-bahan tersebut hendaklah dicampurkan bersama di dalam kuali yang besar atau dikenali sebagai kawah dan dimasak dengan api yang sederhana besar. Dodol yang dimasak tidak boleh dibiarkan kerana jika dibiarkan, dodol akan hangus atau hangit di bahagian bawahnya/kerak. Oleh itu, dodol hendaklah sentiasa dikacau bergilir-gilir untuk mendapatkan hasil yang baik. Dodol yang dimasak memakan masa yang agak lama iaitu lebih kurang 4 jam kerana sekiranya kurang dari 4 jam, dodol yang dimasak tidak sedap dimakan. Setelah 2 jam dodol tadi dimasak, dodol akan bertukar kepada warna coklat yang pekat sedikit. Dodol tersebut akan mendidih dan mengeluarkan gelembung-gelembung udara yang banyak.Seterusnya, dodol hendaklah dikacau supaya gelembung dodol tersebut tidak terkeluar dari kawah sehinggalah dodol tersebut masak dan diangkat.
Akhir sekali, dodol tersebut hendaklah disejukkan di dalam periuk yang besar. Untuk mendapatkan hasil yang baik dan rasa yang sedap, dodol mestilah berwarna coklat tua, berkilat dan pekat. Selepas itu, dodol tersebut bolehlah dipotong dan dimakan. Kebiasaannya dodol akan dihidang kepada tetamu pada hari-hari tertentu seperti hari-hari perayaan dan majlis kenduri.
OTAK-OTAK
Pada lazimnya ia dibungkus dengan daun kelapa atau daun nipah tetapi kini ianya boleh dibungkus dengan kulit popia dan dikenali sebagai ‘spring roll’. Kebiasaan otak-otak diperbuat daripada isi ikan laut. Bagi ikan air tawar yang sesuai untuk dibuat otak-otak ialah ikan tilapia merah, patin dan keli. Otak-otak yang dibungkus dengan daun kelapa atau daun nipah perlu dibakar di atas dapur arang atau dapur biasa. Ia lebih enak dimakan ketika masih panas.
TAPAI
Tapai ialah sejenis penganan yang dibuat daripada pulut. Terdapat 2 jenis tapai iaitu tapai ubi dan tapai pulut. Biasanya tapai pulut lebih popular jika dibandingkan dengan tapai ubi. Tapai pulut rasanya lebih sedap kerana itulah tapai ubi tidak dapat menandingi tapai pulut.
Bahan-bahan untuk membuat tapai tidaklah terlalu rumit. Tapai pulut memerlukan bahan seperti pulut, ragi dan sedikit gula. Ketiga-tiga bahan ini hendaklah dicampurkan sehingga sebati. Kemudiannya akan dibungkus sedikit-sedikit dengan menggunakan daun yang disebut sebagai daun tapai. Tetapi pada zaman ini, daun tapai semakin sukar didapati dan kebanyakan tapai dibungkus dengan menggunakan daun pisang. Terdapat sedikit perbezaan rasa antara tapai yang dibungkus dengan daun tapai dan tapai yang dibungkus dengan daun pisang.
Tapai yang telah siap dibungkus dimasukkan ke dalam pasu tempayan yang besar dan ditutup dengan kain. Setelah diperam dan disimpan selama 3 hari, tapai itu akan masak dan barulah boleh dimakan. Tapai yang telah masak mengeluarkan air yang sangat manis. Air tapai ini boleh diminum dan juga boleh dijadikan sebagai ubat tradisional.
Orang tua zaman dahulu juga mempunyai pantang larang apabila hendak membuat tapai. Apabila tapai sedang dibungkus, seseorang itu tidak boleh memakan sirih atau mendekatkan dengan benda-benda yang berwarna merah. Jika pantang larang ini dilanggar, tapai tersebut akan berwarna merah dan rasanya tidak sedap. Seseorang itu juga tidak boleh memakan benda yang masam ketika membungkus tapai kerana ia akan menyebabkan tapai menjadi masam.
Tapai yang telah masak juga tidak boleh disimpan lama, masanya adalah lebih kurang dalam 2 hari sahaja dan kerana rasanya yang terlalu manis biasanya sesuai dimakan pada waktu tengah hari sebagai pencuci mulut, dan sekiranya mahu menambahkan lagi kesedapan tapai, tapai itu boleh dicampurkan dengan santan kelapa dan dimasukkan sedikit ais.
0 comments:
Post a Comment